Lelaki maut pacuan empat roda rempuh treler

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki meninggal dunia maut selepas pacuan empat roda dipandunya terbabas dan melanggar sebuah treler yang sedang parkir di tepi Jalan Senangin 6, Harvest Green Industrial Park, Taman Pasir Putih di Pasir Gudang hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 4.30 pagi dan mengakibatkan mangsa, Jagatish Kumar Ramasi, 20, tersepit di tempat duduknya.

“Pihak polis mendapatkan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Bagaimanapun mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Noor Azhan Ahmad berkata, seramai lapan anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pancuan empat roda jenis Mitsubishi Triton melanggar treler yang sedang parkir di tepi jalan.

“Mangsa yang merupakan pemandu Mitsubishi Triton tersepit. Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersebut dengan menggunakan peralatan khas,” katanya.

Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamatkan mangsa selesai pada pukul 4.50 pagi. – SB


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *