DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tawaran UMNO untuk bekerjasama dengan Pas mesti diperluas ke seluruh negara dan bukannya di negeri-negeri tertentu.
Pada masa sama Timbalan Presiden Pas itu menegaskan, kerjasama itu juga perlu melibatkan Bersatu untuk menyatukan semua parti utama Melayu-Islam.
“Saya beritahu, kalau nak pakat, pakat satu negara. You tak boleh pakat tempat you suka, tempat you tak suka you lawan, mana boleh. Di Kelantan, Terengganu nak lawan Pas tapi di Selangor nak kawan, mana boleh. Kalau nak kawan, kawan betul-betul. Kalau nak lawan, lawan betul-betul,” katanya dalam wawancara bersama saluran Youtube FengRenGuan.
Pada Mei lalu, Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar berkata UMNO dan Pas akan mengelak daripada bertanding di kerusi yang sama di negeri itu, dengan harapan untuk menumbangkan Pakatan Harapan.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, dengan strategi itu, UMNO dan Pas mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
Tuan Ibrahim seterusnya mengingatkan, parti itu tidak akan memberi autonomi kepada Pas negeri untuk memutuskan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, parti itu menggunakan pendekatan yang sama di kubu kuatnya di Pantai Timur dan Pantai Barat.
“Hingga setakat ini kita tak ada autonomi. Bermakna bahawa polisi kita adalah sama, (di) Pantai Timur atau Pantai Barat, sama. Tak ada autonomi untuk setiap negeri, tetapi fleksibiliti untuk memilih rakan partner dalam politik, itu kita ambil kira kekuatan yang ada. Sebagai contoh, kalau kita nak menang di Selangor, kalau Pas dengan UMNO tak berpakat saya rasa akan kekal pada PH. Jadi UMNO pun tahu situasi itu dan UMNO nak pakat dengan Pas di Selangor,” katanya.
Leave a Reply