Abdul Hadi hadir ke Bukit Aman bantu siasatan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir ke Bukit Aman semalam bagi memberi keterangan berkenaan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera paling ramai terbabit rasuah.

Tanpa memberi butiran lanjut, Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A. Skandaguru berkata Abdul Hadi hadir bersama peguamnya.

“Beliau telah memberikan kerjasama sepanjang sesi rakaman keterangan berlangsung. Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan PDRM telah membuka kertas siasatan terhadap Abdul Hadi susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.

A.Skandaguru sebelum ini dilaporkan berkata polis menerima 28 laporan berhubung kenyataan Abdul Hadi itu, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.- BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *