Rasuah adalah punca semua masalah di negara ini

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PERJUANGAN politik Gerakan Tanah Air (GTA) yang menentang dan mahu membanteras rasuah adalah relevan dalam konteks politik serta keadaan negara pada masa kini.

Penyelaras Parlimen Parit Sulong, Mahdzir Ibrahim mendakwa, ini kerana semua permasalahan yang berlaku di negara ini kebanyakannya berpunca daripada amalan rasuah.

“Realiti politik dalam konteks permasalahan rakyat daripada isu kecil hingga isu besar semuanya berpunca akibat rasuah seperti masalah harga barang keperluan, kos sara hidup hingga masalah negara seperti isu pendidikan, ekonomi seperti kadar upah pekerja, kebajikan pekerja, kadar ringgit dan inflasi. Kita harus bersetuju punca semua masalah ini ialah rasuah.

“Seperti kita ketahui banyak laporan audit dan badan-badan kerajaan mahupun bukan kerajaan, sektor yang paling terdedah dan berlakunya rasuah adalah dalam sektor awam. Ini terbukti dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan terbaharu kapal tempur persisir (LCS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Melayu adalah majoriti yang mengisi pelbagai jawatan dalam sektor awam dan apabila Pengerusi GTS, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap mengenai laporan, fakta dan membangkitkan perkara berkenaan, bekas Perdana Menteri itu tidak wajar dilabel sebagai rasis.

“Maka, tidak dapat tidak kita harus sedar bahawa sektor awam ini majoritinya adalah orang Melayu. Justeru, adakah laporan dan fakta ini rasis? Adakah saya atau Tun Dr Mahathir atau sesiapa pun yang bercakap atas fakta ini juga rasis,” soalnya.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) ketika ini mendakwa mereka adalah blok politik yang progresif dan cuba memainkan sentimen bahawa GTS tidak relevan dan bersifat rasis hanya kerana memperjuang atau membicarakan isu tersebut.

“Jika kumpulan politik progesif ini benar, satu persoalan penting yang harus dijawab iaitu adakah regresif jika GTA mahu kakitangan awam iaitu majoritinya Melayu atau pemimpin yang amanah, berintegriti dan cekap? Adakai usaha ini akan mengancam nasib kaum minoriti? Atau adakah Melayu yang berintegriti ini rasis,” soalnya lagi.

Menurut beliau, PH sering mendakwa Datuk Seri Najib Razak menggunakan politik wang semasa menjadi Perdana Menteri untuk menarik sokongan rakyat demi kepentingan politik beliau dan GTS bersetuju dengan padangan tersebut.

Namun katanya, pada masa sama pentadbiran Lim Guan Eng semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang turut melakukan perkara sama dengan menggunakan wang rakyat untuk mendapatkan sokongan orang Islam, guru agama dan lain-lain.

“Jadi progresifnya di mana? Begitu juga dengan persoalan sekolah vernakular. Adakah dengan mempertahankan sistem sekolah vernakular itu satu langkah progresif dalam konteks perpaduan negara bangsa? Saya tidak mempertikaikan kepentingan belajar bahasa Mandarin untuk anak-anak, saya bertanya persoalan sekolah vernakular dalam konteks pendidikan dan perpaduan bangsa.

“Jika mereka yang progresif merasakan mereka yang berintegriti ini rasis, maka mereka tidak faham maksud integriti atau mereka hanya berlakon menjadi progresif,” katanya.

Bagi mereka yang merasakan gagasan politik GTA yang berlingkar dalam isu Melayu dan Islam sebagai tidak releven, Mahdzir berkata, mereka boleh menilai semula pandangan itu yang mungkin melihat persoalan Melayu itu daripada kacamata UMNO atau pandangan DAP yang juling termasuk melihat Islam daripada perspektif Pas yang jumud.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *