anti lompat parti zarul ahmad DAP lim guan eng Sabah IJN

PRU boleh diadakan setiap tahun jika selesai masalah ekonomi

PENGERUSI DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng mendakwa, Belanjawan 2023 yang dijadualkan dibentangkan pada 7 Oktober depan bukan untuk membantu rakyat dan mengatasi masalah ekonomi negara.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, sebaliknya hanyalah belanjawan pilihan raya bagi menguntungkan pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan sepatusnya mengambil pendekatan holistik mencari jalan mengatasi kenaikan harga, menangani kekurangan buruh yang teruk, kejatuhan nilai ringgit, kerenah birokrasi dan halangan kepada pertumbuhan ekonomi yang dihadapi oleh perniagaan.

“Menangani masalah-masalah ini akan membantu mengurangkan kos dan menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, di mana pengeluaran yang lebih tinggi akan membantu perniagaan untuk mengurangkan lebih banyak kos.

“Malangnya, kerajaan sekarang nampaknya taksub dengan survival politik dan mengadakan pilihan raya umum dengan mengorbankan mengambil langkah konkrit untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara,” kata ahli parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan.

Guan Eng berkata, tindakan kerajaan menjadualkan semula pembentangan Belanjawan 2023 juga jelas menunjukkan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 berkemungkinan besar diadakan pada November tahun ini.

“Pada ketika setiap sumber, tenaga dan tumpuan harus ditujukan untuk menyelamatkan negara daripada krisis ekonomi sekarang, kerajaan mengorbankan tadbir urus yang baik demi kepentingan politik.

“Jika pilihan raya awal boleh membantu menyelesaikan masalah ekonomi negara, maka pilihan raya sepatutnya diadakan setiap tahun,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Menurutnya, pembentangan Belanjawan 2023 lebih awal dari yang dijadualkan semata-mata untuk tujuan pilihan raya umum menafikan tujuan keseluruhan bajet sebagai penyata dasar fiskal dan kewangan untuk tahun hadapan.

Guan Eng turut mengambil contoh kenaikan harga roti Gardenia antara 20 sen hingga 70 sen bermula 1 September ini.

“Pengumuman Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd bahawa mulai 1 September, roti putihnya, yang merupakan produk makanan ruji dalam kalangan kumpulan B40 dan M40, akan menyaksikan peningkatan antara 20 dan 70 sen, menunjukkan peningkatan kos sara hidup masih masalah ekonomi yang membimbangkan.

“Gardenia berkata syarikat itu tidak mempunyai alternatif selain menaikkan harganya berikutan kenaikan kos pengangkutan dan kos bahan mentah seperti tepung gandum dan lemak sayuran,” katanya.

Jelasnya, kenaikan harga roti Gardenia itu juga bercanggah dengan dakwaan tidak bertanggungjawab dibuat kerajaan sekarang bahawa mereka telah berjaya mengawal harga yang melambung tinggi, terutama harga barang makanan yang meningkat sebanyak 6.2 peratus pada Julai 2022.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *