TINDAKAN lima pelajar Sekolah Pondok Raudhatul Qur’an al-Aziziah di Aceh, Indonesia mandi sungai semasa hujan lebat mengundang padah apabila mereka dihanyutkan arus deras sungai Sabtu lalu.
Lapor CNN Indonesia, akibat kejadian itu, empat pelajar termasuk seorang dari Malaysia ditemukan meninggal dunia manakala seorang lagi diselamatkan penduduk setempat.
Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Darazatul Aulia (17), M. Reza Asri (18), Ahmadal Hadi (17) dan Fakhrul Razi (20) dari Malaysia.
Sementara seorang mangsa selamat bernama Saiful Amani (23).
Ketua agensi Basarnas Banda Aceh, Ibnu Harris Hussain berkata, tragedi itu menimpa mangsa yang berenang di Sungai Brayeun semasa hujan lebat dan secara tiba-tiba datang kepala air datang menghanyutkan mereka.
“Seorang pelajar berjaya diselamatkan penduduk setempat manakala empat lagi pelajar dihanyutkan dan ditemukan sudah meninggal dunia,” katanya.
Mengulas lanjut Ibnu Harris berkata, mayat terakhir mangsa ditemukan ialah Fakhrul Razi yang dijumpai di Pantai Lampuuk di Aceh Besar.
“Fakhrul Razi ditemukan nelayan yang ingin keluar menangkap ikan sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya, usaha membawa keluar jenazah pelajar itu berdepan kesukaran memandangkan laut bergelora dan angin kencang.
“Kami sudah maklumkan kepada keluarganya di Malaysia dan semua urusan bakal selesai tidak lama lagi,” katanya. – AGENSI
Leave a Reply