CADANGAN Perikatan Nasional (PN) yang mahu pimpinan parti pembangkang mempertimbangkan kerjasama untuk menentang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah demi kepentingan negara.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu bukan semata-mata kepentingan politik tetapi pandangan yang disuarakannya itu adalah bagi memastikan masa depan negara yang lebih selamat.
Kata beliau, rakyat bimbang negara akan kembali terjerumus dalam kancah kleptokrasi, rasuah serta salah guna kuasa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pada masa sama, Muhyiddin menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PKR bahawa Pakatan Harapan (PH) kekal pendirian tidak bekerjasama dengan PN adalah pandangan bekas Ahli Parlimen Pandan itu.
“Yang saya baca itu yang tolak (kerjasama) adalah Rafizi. Tak apalah kita terima pandangan dia.
“Saya serah kepada kepemimpinan politik mengenai perkara itu. Adakah anda memikirkan soal parti anda atau adakah anda memikirkan mengenai kepentingan negara?
“Bagi saya negara lebih utama berbanding parti. Di sini menuntut suatu keberanian untuk menyelamatkan keadaan, kerana saya tahu di luar sana ramai rakyat mahu kalau boleh ada usaha juga untuk menyatukan bukan pihak pembangkang, tetapi parti-parti supaya kita boleh tawarkan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat bila sampai pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pemulihan Negara (MPN), hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pihaknya bersedia menghadapi apa juga situasi dalam PRU-15 nanti.
Namun, beliau berkata, pihaknya masih terbuka terhadap sebarang perbincangan dengan parti-parti lain.
Sabtu lalu, Muhyiddin dalam sidang media selepas selesai Konvensyen PN 2022 menyarankan supaya pimpinan parti pembangkang membuka semula pintu rundingan dengan PN untuk menentang BN dalam PRU-15.
Beliau berkata langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.
Leave a Reply