19 PATI termasuk tiga tekong darat diberkas

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

CUBAAN 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga tekong diberkas dalam Op Pintas selepas melakukan serbuan di kawasan semak Jalan Pengerang, Kota Tinggi, tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, semua tekong darat dan migran itu diberkas selepas pihak polis menahan sebuah kereta dipandu seorang lelaki warga asing.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Pengerang menahan sebuah kereta Honda CR-V di tepi jalan itu yang dipandu seorang lelaki warga asing pukul 12.30 tengah malam.

“Hasil soal siasat awal, pemandu tersebut menunjukkan sekumpulan 16 lelaki warga asing berumur lingkungan 21 hingga 46 tahun di kawasan berdekatan disyaki cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu pada pukul 6 pagi semalam, pihak polis menahan sebuah kereta Proton Waja dipandu lelaki warga asing berumur 30-an yang disyaki terlibat dalam menguruskan perjalanan semua PATI tersebut.

Ujarnya, pihak polis kemudian dibawa ke sebuah rumah penampungan di kawasan Kulai dan menahan seorang wanita warga tempatan disyaki menjadi penjaga rumah itu yang menyediakan tempat sebagai transit kepada kesemua migran berkenaan.

Hussin berkata, semua tekong darat dan migran itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, Seksyen 26A itu jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara hingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya.

Seksyen 6 (1) (c) itu pula katanya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga bulan hingga dua tahun dan tiga kali sebatan manakala Seksyen 186 itu pula boleh dipenjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

“Polis Kota Tinggi memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *