AHLI Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Radzi Jidin sedia berdepan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“PN bersedia pada bila-bila masa,” katanya yang juga Menteri Kanan Pendidikan mengulas persediaan PN dalam berdepan saingan PRU-15 susulan mesej disampaikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 semalam.
“Mesej disampaikan beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semalam jelas menunjukkan politik adalah dinamik dan sebarang kemungkinan boleh berlaku.
“Macam mana kita nak laksanakan itu, kalau tiga penjuru, tiga, kalau dua, dua. Kalau tiga penjuru sekalipun kami PN bersedia pada bila-bila masa. Lihat sokongan dan dokongan kemudian usahakan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat di Kajang, hari ini.
Semalam, Muhyiddin menggesa semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU-15 adalah Barisan Nasional (BN).
Katanya, rundingan berkenaan pernah dijalankan sebelum ini, khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun tiada keputusan muktamad dibuat ketika itu.
Leave a Reply