AHLI Parlimen Klang, Charles Santiago berpendapat, pemberian pengampunan diraja kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dipenjarakan seolah-olah mempermainkan badan kehakiman.
Tegas beliua, menjelang ulang tahun kemerdekaan negara ke-65 dalam beberapa hari lagi, penting untuk memastikan kedaulatan undang-undang dikekalkan.
“Satu perkara yang boleh kita lakukan untuk negara kita hari ini, menjelang Hari Merdeka, adalah untuk memastikan tiada sesiapa dapat mengatasi undang-undang dan tiada siapa boleh menjadikan negara ini tebusan,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today (FMT) hari ini.
Tambahnya, gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar parti itu memulakan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi Najib dan menggunakan media sosial sebagai ‘senjata’ hanyalah untuk memuaskan hati penyokongnya.
“Kes Najib bukanlah rumit. Zahid hanya ingin memuaskan hati (penyokong), terutama mereka yang tidak begitu faham mengapa Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan keterangan baharu dikemukakan atau penangguhan.
“Selain itu, adakah Zahid berbuat demikian hanya untuk membebaskan Najib? Tidak. (Beliau berbuat demikian) untuk menyelamatkan dirinya juga,” kata Santiago.
Dalam ucapan kepada ahli UMNO pada taklimat khas semalam, Zahid berkata, parti itu akan menganjurkan kempen petisyen untuk mendesak agar Najib diberikan pengampunan diraja.
Tambahnya, semua ahli cawangan dan bahagian akan diarahkan untuk mengambil bahagian bagi menunjukkan sokongan mereka kepada bekas Presiden UMNO yang memulakan hukuman penjara 12 tahun minggu lepas.
Catatan Facebook Najib juga akan disusun dan diterbitkan, katanya.
“Buah fikiran dan semangat di sebalik kata-kata (Najib di Facebook) boleh digunakan sebagai senjata oleh UMNO untuk menentang musuh politik kita,” tambahnya.
Berhubung perkara ini, Santiago berkata, Najib memanipulasi media sosial untuk memperdayakan rakyat, dan kini Zahid juga berbuat perkara sama.
“Kita, rakyat, hendaklah sedar dan lawan balik. Ahli politik memanggil kita ‘orang biasa’ berbanding dengan Najib, yang tergolong dalam kumpulan istimewa.
“Jadi mari kita tunjukkan betapa kuatnya kita apabila bersatu,” katanya, menyeru rakyat untuk menentang golongan yang kini menggunakan pelbagai taktik untuk melepaskan penjenayah.
Leave a Reply