PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menuntut sekurang-kurangnya 30 peratus golongan muda untuk diangkat sebagai calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Pengerusi Pemuda PN, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara itu penting bagi memberi keyakinan kepada golongan muda, khususnya hampir enam juta pengundi baharu, bahawa PN memiliki penyelesaian untuk segala masalah mereka.
Beliau berkata, Pemuda PN yakin tindakan gabungan itu mengangkat calon anak muda akan memberi gambaran kepada pengundi muda bahawa parti itu mampu membawa aspirasi mereka apabila menjadi kerajaan.
“Saya ingin merayu pada semua pimpinan PN untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon anak muda pada PRU-15, yang boleh membawa suara dan aspirasi anak muda dalam kerajaan.
“Ketika ini, ada 5.8 juta pengundi baharu yang layak mengundi secara automatik, dengan 20 peratus daripadanya berusia 18 tahun hingga 20 tahun, manakala sekitar separuh rakyat Malaysia berusia bawah 30 tahun.
“Ertinya, anak muda adalah ‘king maker’ pada PRU-15. Jika tidak mampu memahami aspirasi, masalah dan cabaran mereka, mana-mana parti pun akan berdepan kesukaran yang cukup besar,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PN 2022, di Serdang, hari ini.
Leave a Reply