PN kerajaan demokratik ganti kerajaan ‘mi segera’ PH

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) yang menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) ditubuhkan secara demokratik dan bukan menerusi ‘pintu belakang’ seperti didakwa.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebaliknya menyifatkan PH menjadi kerajaan “mi segera tidak masak” setelah pentadbirannya dipenuhi kecelaruan dan kegopohan.

Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN, atas faktor itu, gabungan PN dibentuk dengan menjatuhkan PH disertai rakan-rakan daripada BERSATU bersama parti lain iaitu PAS, parti dari Sabah, Sarawak dan UMNO, membuat perubahan kerajaan secara demokratik.

“Ketika PH mengambil alih kerajaan, mereka bercelaru. Sudahlah kerajaan mi segera, tidak masak, berlaku pula krisis berebut nak jadi Perdana Menteri, menyebabkan alpa masalah yang patut diutamakan.

“Ini bukan pintu belakang, tetapi demokratik melalui (kaedah) mengumpul jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi. Ini demokrasi,” katanya di hadapan kira-kira 1,300 perwakilan yang hadir di Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di Maeps, Serdang hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, PN berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada PH dalam keadaan teratur tanpa pertumpahan darah, demonstrasi atau pergaduhan antara rakyat dengan pihak berkuasa.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin katanya sanggup melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri demi memastikan perpaduan dan kelangsungan pentadbiran PN sehingga kini.

Hadi turut memuji kejayaan PN menyelesaikan masalah ketirisan, salah guna kuasa dan salah laku serta isu bantuan yang tidak sampai ke sasaran dalam tempoh masa singkat, meskipun ia ditubuhkan tanpa memiliki manifesto atau janji.

“Dalam keadaan gangguan yang banyak daripada luar dan dalam, bahtera PN dapat diteruskan sampai hari ini,” katanya.

Abdul Hadi berkata, semua parti komponen PN perlu berpadu menjelang PRU-15 untuk memastikan gabungan itu dapat membentuk kerajaan yang kukuh, dan menolak peristiwa lama serta ‘mereka yang terbabit dengan peristiwa lama’.

“Sekurang-kurangnya kita dapat membuktikan integriti kita melalui menteri dalam Kabinet serta kerajaan negeri yang kita perintah dalam masa singkat. Mudah-mudahan rakyat dapat melihat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *