PRIHATIN Rakyat dan integriti merupakan dua prinsip utama yang dipegang Perikatan Nasional (PN) dalam perjuangannya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi PN itu berkata, inilah dua prinsip yang mungkin sukar untuk ditemui dalam dunia politik yang penuh pancaroba hari ini.
“Kerana itu, dalam konvensyen pada hari ini, jangan kita berbincang soal diri kita sendiri, atau puak kita sendiri, atau kabilah kita sendiri.
“Jangan kita bicara apa aku dapat, apa puak aku dapat, apa kabilah aku dapat. Tetapi marilah kita bersama-sama memikirkan apa tawaran kita kepada rakyat. Fikir permasalahan rakyat. Suarakan rasa hati rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaputama pada Konvensyen Perikatan Nasional di Serdang hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Datuk Seri Yong Tek Lee; Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Muhyiddin berkata, PN harus cari penyelesaian untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat supaya gabungan itu benar-benar menjadi jurubicara rakyat yang PRIHATIN akan permasalahan dan keperluan mereka.
“Marilah kita berbincang, bermusyawarah, bertukar pandangan, bagaimana untuk menjadikan prinsip INTEGRITI sebagai landasan utama yang memandu perjalanan parti serta pengurusan dan pentadbiran negara.
“Kerana kita di dalam Perikatan Nasional ini mewakili suara dan rintihan puluhan jutaan rakyat di luar sana yang sudah muak, sudah jelik dan benci dengan amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang meninggalkan banyak titik hitam dalam sejarah negara kita, yang bukan sahaja merobek kantung negara malah mencalar imej watan kita di mata dunia,” katanya.
Oleh itu tegas beliau, prinsip Berintegriti dan Prihatian Rakyat menjadi asas pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional.
Leave a Reply