Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SERAMAI 16 kru berdepan detik cemas apabila bot penumpang yang dinaiki hanyut selama dua hari selepas kehabisan minyak semasa dalam perjalanan ke Batam, Indonesia, Rabu lalu.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, Pusat Operasi Zon Maritim menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru, mengenai 16 kru kapal telah hanyut bersama bot penumpang yang dinaiki.
“Bertindak atas maklumat, Bot Perkasa 44 telah digerakkan ke lokasi dan telah menyelamatkan semua mangsa pada kedudukan lebih kurang 5 batu nautika barat daya Pulau Pemanggil, Mersing, 5 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati, kesemua 16 mangsa merupakan kru kapal dagang MT Voras yang diturunkan dari kapal di perairan Sedili, Kota Tinggi dan menaiki bot penumpang seterusnya hanyut sejauh 40 batu ke perairan Pulau Pemanggil selama dua hari sejak 24 Ogos lalu.
“Kru kapal tersebut terdiri daripada tujuh kru warga Indonesia, enam warga Sri Langka dan tiga warga India termasuk kapten kapal, semuanya berumur antara 22 hingga 64 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mereka serta bot dibawa ke jeti berdekatan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Dalam pada itu, pihaknya mengingatkan seluruh komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan terutama ketika keadaan laut yang bergelora dan cuaca yang tidak menentu.
“Tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Amalkan langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Located Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak APMM mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan.
Sebarang kecemasan dan aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.
Leave a Reply