Suami isteri jadi gelandangan tidak mampu sewa rumah

SEPASANG suami isteri terpaksa menjadi gelandangan dan berteduh di bawah jejambat di Jalan Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang selepas tidak mampu membayar sewa rumah.

Pasangan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd., 26, dan Siti, 23, mula menjadikan bawah jejambat berkenaan sebagai tempat berteduh sejak beberapa bulan lalu.

Selain kerana kesempitan hidup, pasangan itu yang baru berkahwin tahun lalu juga memilih menjadi gelandangan kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarga mereka lain yang juga kurang berkemampuan.

Menurut Mohd., dia juga tidak mahu menyusahkan abangnya yang kini turut menjaga ibu mereka yang menghidap penyakit di dalam perut.

“Kami juga kerap berulang alik antara jejambat ini dan Jalan Bagan Luar kerana di situ ramai yang membantu menghulurkan bantuan makanan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, pasangan itu merupakan antara 300 gelandangan yang disantuni The Ascott Merdeka dengan pemberian makanan dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka hari ini.

Sementara itu menurut Siti, dia sebelum ini pernah bekerja sebagai pengasuh namun kini sukar mencari pekerja lain yang bersesuaian kerana mereka tidak mempunyai kenderaan.

Dalam pada itu, Pengurus Residensi Sky Residence by The Ascott, Lee Boon Kae, berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM1,000 setiap bulan menerusi program terbabit.

Ujar beliau, program itu bertujuan membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik lebih-lebih lagi mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Selain menyantuni gelandangan, kita turut menziarahi pusat jagaan warga emas dan anak-anak yatim,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *