TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli menyifatkan penafian kali kedua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkaitan penglibatan “isterinya” dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) hanyalah pernafian kosong.
Menurut beliau, penafian mudah tanpa menunjukkan fakta atau dokumen ialah taktik biasa pimpinan dan bekas pimpinan UMNO.
Katanya, semasa skandal SRC dan 1MDB mula didedahkan, Datuk Seri Najib Razak pun menafikan bahawa wang masuk ke akaun peribadinya.
“Justeru apabila telah dibuktikan, barulah bekas perdana menteri menyebut ia wang derma hartawan Arab namun setelah disiasat, didapati wang itu datang dari tabung pencen rakyat.
“Sebab itu rakyat tidak boleh lagi mempercayai penafian kosong menteri-menteri UMNO kerana rekod yang telah ada setakat ini,” katanya.
Mengulas lanjut Rafizi berkata, jika Dr Abd Latiff tiada kaitan dengan Zainab Mohd Salleh dan beliau atau keluarganya tidak terlibat dengan kontrak projek LCS, beliau diminta mengambil tindakan saman.
Katanya, saman serta merta itu perlu dibuat Dr Abd Latiff ke atasnya, Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) yang mengarahkan audit forensik LCS dan juruaudit Alliance IFA (M) Sdn Bhd.
“Jika ini tidak diambil pada kadar segera, maka saya yakin Dr Abd Latiff akan mengheret partinya Bersatu ke kancah kekalahan dalam PRU-15 kerana rakyat akan menghukum parti-parti yang melindungi watak-watak yang terlibat di dalam skandal LCS ini,” katanya.
Rafizi sebelum ini memetik audit forensik itu yang menyebut bahawa Zainab Mohd Salleh ialah isteri Latiff, yang berkhidmat sebagai timbalan menteri pertahanan sebelum ini.
Latiff hari ini sekali lagi menegaskan bahawa dia tiada isteri yang bernama Zainab.
“Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Salleh,” katanya di Fcaebook.
Leave a Reply