PM Thailand teruskan tugas Menteri Pertahanan

PEMIMPIN Thailand, Prayuth Chan-ocha akan meneruskan tugas sebagai Menteri Pertahanan berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang menggantung tugasnya sebagai Perdana Menteri Rabu lalu.

Ia merupakan kenyataan pertamanya kepada orang ramai menerusi hantaran dimuat naik di media sosial, sejak mahkamah memutuskan untuk menyemak had penggal pentadbirannya.

Agensi berita Reuters melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan kini memangku jawatan Perdana Menteri Thailand, negara ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara.

“Saya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab saya sebagai Menteri Pertahanan untuk rakyat dan Thailand setiap hari,” ciapnya di Twitter rasminya malam tadi.

Mahkamah Perlembagaan pada Rabu memutuskan untuk mendengar petisyen dikemukakan parti pembangkang yang berhujah bahawa tempoh pentadbiran Prayuth sebagai ketua junta tentera selepas mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa pada 2014, harus dikira dalam tempoh keseluruhannya memegang jawatan.

Perlembagaan menetapkan had penggal lapan tahun untuk perdana menteri.

Bagaimanapun, masih tidak jelas bila mahkamah akan menyampaikan keputusan mengenai semakan itu.

Kontroversi mengenai had penggal Prayuth adalah episod terbaharu dalam hampir dua dekad pergolakan politik yang berselang-seli, termasuk dua rampasan kuasa dan protes ganas, berpunca daripada penentangan terhadap pembabitan tentera dalam politik dan tuntutan untuk perwakilan yang lebih besar apabila kesedaran politik berkembang.

Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri, berkata pada Jumaat Kabinet terus berfungsi seperti biasa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *