Keputusan mahkamah terhadap Najib baik untuk perniagaan – Ahli ekonomi

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International memberi petanda baik kepada Malaysia, walaupun ia juga boleh membawa ketidakpastian, kata ahli ekonomi, Carmelo Ferlito.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran itu berkata, keputusan mahkamah memberi isyarat positif bahawa “tiada siapa pun yang tidak boleh disentuh” dan keadilan turut melibatkan mereka yang memainkan peranan dalam politik negara.

Bagaimanapun katanya, keluarnya Najib dari kancah politik akan meninggalkan kekosongan yang boleh menambah suasana ketidaktentuan.

“Jangan kita lupa Najib mewakili sebahagian daripada UMNO yang mesra perniagaan, manakala dua kerajaan baru-baru ini menunjukkan kecenderungan lebih tinggi untuk campur tangan dalam ekonomi,” katanya kepada FMT Business.

Beliau merujuk kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghentikan perniagaan dan perkhidmatan tidak penting selama dua minggu semasa “lockdown” Covid-19, manakala kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan harga siling bagi barangan dan larangan pekerja asing.

Ferlito berkata, pendekatan “tunggu dan lihat” mungkin diambil pelabur asing kerana perebutan kuasa dijangka berlaku dalam kalangan puak UMNO.

“Yang muncul sebagai pemenang akan menentukan jenis platform ekonomi (yang akan menjadi kempen mereka),” katanya.

Felo penyelidik kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Shankaran Nambiar berkongsi sentimen sama dengan berkata, keputusan mahkamah itu menjadi tarikan kepada bakal pelabur.

“Ia menunjukkan kehadiran institusi yang baik.”

Bagaimanapun katanya, satu sabitan mungkin tidak mencukupi untuk mengubah persepsi dan membuktikan hakikat bahawa kedaulatan undang-undang adalah bahagian penting dalam rangka kerja institusi negara.

“Pelabur asing akan tunggu sebelum membuat penilaian. Takkanlah dek kerana seekor burung lelayang, kita merasakan musim panas sudah tiba?”

Beliau juga mendapati keputusan Ismail tidak campur tangan dalam proses kehakiman akan dipandang positif oleh orang ramai.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia, Shaun Cheah berkata, keputusan mahkamah akan memberi keyakinan kepada pelabur asing bahawa undang-undang komersial Malaysia kekal utuh.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *