Bayi rentung

Buruh binaan maut dipukul majikan dengan topi keledar

SEORANG buruh binaan maut akibat dipukul dengan topi keledar dipercayai oleh majikannya di Mentara Lama, di Gua Musang, semalam.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Kuala Lipis, Pahang selepas tiga hari menerima rawatan.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, kejadian bermula pada pukul 12.30 pagi, Isnin lalu apabila mangsa pergi ke rumah seorang rakan di kampung sama dan mengadu dipukul oleh majikannya.

Beliau berkata, pada pukul 7 pagi, rakan dan abang mangsa membawanya ke Klinik Kesihatan Merapoh untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lipis, Pahang untuk rawatan lanjut, namun meninggal dunia di hospital terbabit pada pukul 6.30 pagi semalam.

“Hasil siasatan mendapati mangsa bekerja dengan suspek sebagai buruh binaan rumah di Mentara Lama, di Gua Musang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, menurut Astro Awani yang memetik laporan Sinar Harian.

Katanya, punca awal kejadian disebabkan mangsa yang dikatakan mengambil duit upah membina rumah daripada pelanggan tanpa pengetahuan suspek.

“Suspek berang lalu bertindak memukul kepala mangsa dengan menggunakan topi keledar sehingga mangsa mengalami kecederaan dan kesakitan,” katanya.

Susulan itu katanya, suspek lelaki berusia 40 tahun ditangkap dan ditahan reman sehingga Selasa ini.

“Kes pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kemudian diklasifikasikan mengikut 302 Kanun Keseksaan memandangkan mangsa meninggal dunia,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *