SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas terjatuh dari tingkat sembilan flat perumahan Sri Sabah, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian dan dimaklumkan mangsa telah di bawa ke hospital oleh ibunya.
“Siasatan mendapati mangsa telah terjatuh dari balkoni dapur dan ibu serta adik mangsa berada di rumah sewaktu kejadian.
“Ibu mangsa tidak menyedari mangsa berada di dapur ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai untuk mengawasi anak-anak dengan baik supaya tidak berlakunya perkara yang tidak diingini.
Leave a Reply