BUAT kali kedua, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, sekali lagi menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS) Zainab Mohd Salleh adalah isteri beliau.
Dr Abd Latiff menerusi hantaran Facebook miliknya hari ini membidas tuduhan berterusan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli ke atasnya berhubung skandal itu.
“Salam Jumaat yang penuh barakah penghulu segala hari. Semoga apa saja yang kita lakukan hari ini membawa kebaikan buat semua dan beroleh keberkatan dari yang maha esa.
“Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Mohd Salleh.
“Tiada ahli keluarga saya yang terbabit dalam bisnes (perniagaan) membabitkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS.
“Sebagai wakil rakyat dari kawasan laut dan pulau (Mersing)…saya suka makan ikan…tapi bukan ikan jerung,” tulisnya di Facebook.
Tidak cukup dengan itu, Dr Abd Latiff turut menyertakan serangkap pantun berunsur sindiran dipercayai terhadap dakwaan Rafizi.
Siakap senohong gelama ikan duri,
Cakap bohong lama lama jadi pencuri,
Siakap senohong gelama ikan jerung,
Cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung.
Semalam, Rafizi menerusi catatan di Facebook mendakwa, sejak beliau mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Dr Abd Latiff di dalam laporan forensik projek LCS, sehingga sekarang ahli Parlimen Mersing tidak menafikan kenyataan itu.
“Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh. Penafian Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isterinya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) bertujuan untuk mengelirukan orang ramai,” kata Rafizi dalam kenyataan itu.
Isnin lalu, Dr Abd Latiff menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya malah bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.
Kenyataan beliau itu susulan kenyataan Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Dr Abd Latiff.
Beliau juga mendakwa siasatan dalam LCS juga mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi syarikat, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.
Leave a Reply