Perbicaraan kes panjang: Tun M bimbang penjenayah rasuah terlepas hukuman

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangan berkaitan perbicaraan kes-kes rasuah yang mengambil masa yang panjang sekali gus menyebabkan banyak kes yang tertangguh.

Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, kelewatan perbicaraan akan menyebabkan keadilan terabai sekali gus menyebabkan penjenayah terlepas daripada hukuman.

Beliau mengambil contoh kes SRC melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil masa selama empat tahun.

Jelasnya, terdapat banyak kes pencurian, salah guna kuasa, rasuah melibatkan tokoh politik tertangguh dan tidak dihadap ke mahkamah.

“Ada penjenayah yang meninggal dunia pun. Kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai.

“Sekarang Najib dibicara berkenaan kes lain yang juga akan mengambil masa yang panjang, dan saya percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh.

“Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan,” katanya sebagaimana lapor Astro Awani.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, ketika ini terdapat banyak laporan dibuat berkenaan kes-kes rasuah yang serius dan belum dibicara.

“Besar kemungkinan penjenayah akan terlepas dari dihukum kerana jenayah yang dilakukan oleh mereka.

“Benarlah seperti pepatah Inggeris bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai.

“Bagi Najib, besar kemungkinan ia akan diampun setelah dipenjara,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *