SEORANG lelaki parah akibat terkena sekurang-kurangnya dua das tembakan ketika menunggang motosikal di Kota Damansara, Petaling Jaya, Kuala Lumpur, pukul 8.40 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihak polis kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan, namun hanya menemui motosikal mangsa yang dipercayai terbabas selepas ditembak suspek.
“Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 40-an berjaya melarikan diri dan meminta bantuan seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan berhampiran.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada sebelah kiri serta lengan sebelah kiri dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana mencuba membunuh orang.
“Polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Asisten Superintendan Mohd Maliki Bin Ariffin di talian 013-8308485,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Leave a Reply