wang MBI Kedah SPRM bekas

Isu pecah amanah, salah guna kuasa:SPRM serbu pejabat KLFA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan ke pejabat Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Kuala Lumpur, minggu lalu.

Difahamkan serbuan itu berkaitan isu pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan wang tajaan Kuala Lumpur City FC (KL City) dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati, dengan anggaran jutaan ringgit.

Menurut sumber, serbuan dilakukan bagi mengumpul dokumen yang diambil di pejabat KLFA serta KL City untuk disiasat badan pencegahan rasuah itu.

Beliau berkata, tindak tanduk pengurusan KLFA cukup diragui termasuk proses keluar masuk kewangan selain tindakan pegawai atasan KLFA yang melakukan perjanjian kerjasama dengan mencagarkan tanah akademi tanpa pengetahuan exco KLFA bagi tujuan tertentu.

“SPRM ada datang ke pejabat KLFA untuk ambil dokumen, minggu lalu. Jika wujudnya kesalahan dalam siasatan itu, mungkin ini antara skandal bola sepak terbesar sebab ia babitkan nilai jutaan ringgit.

“Perkara ini pernah kecoh dalam mesyuarat Exco yang meminta pegawai atasan KLFA menjelaskan mengenai dana tajaan dan tanah akademi, tapi tidak dapat jawapan memuaskan,” kata sumber, memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Difahamkan, tanah Akademi KLFA sudah diserahkan kepada pihak swasta, Suede Realty iaitu anak syarikat kepada Jakel.

Untuk tujuan itu, Suede Reality mengeluarkan dana jutaan ringgit kepada KLFA sebagai hasil kerjasama itu.

Namun, masalah tunggakan gaji membabitkan pemain KL City pada awal musim ini, menyaksikan pegawai atasan mengubah perjanjian dengan pihak lain tanpa proses yang betul.

Difahamkan tanah itu kemudiannya diberikan kepada Sinmah Properties Sdn Bhd dengan nilai RM3 juta.

Sementara itu, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, mengesahkan SPRM ada hadir ke pejabat persatuan itu serta mengambil beberapa dokumen bagi membantu siasatan.

Beliau menyatakan sedia bekerjasama dengan SPRM dan tidak akan menyorokkan apa-apa maklumat.

“Ya betul, memang mereka (SPRM) ada datang dan mengambil dokumen di pejabat. Ini adalah prosedur biasa dan saya beri kerjasama yang baik dengan mereka.

“Tak ada apa yang nak disembunyikan, malah tak ada apa yang masuk ‘kocek’ sesiapa mengenai dana tajaan atau isu tanah,” kata Nokman.

Untuk rekod, bola sepak negara pernah digemparkan dengan skandal rasuah membabitkan pemain dalam Liga Malaysia pada 1994 yang akhirnya memberi kesan buruk kepada imej dan prestasi skuad kebangsaan


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *