Doktor rugi RM1.3 juta diperdaya Macau Scam

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG doktor berputih mata apabila mengalami kerugian RM1.3 juta selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan perkhidmatan menjual kereta potong dari Singapura tetapu sebenarnya tidak wujud.

Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 34 itu mula tertarik dengan iklan dalam Facebook pada hujung bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa kemudiannya menekan pautan iklan tersebut sebelum berinteraksi dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp untuk mengetahui lebih lanjut tawaran diberikan

“Mangsa mungkin mahu mulakan bisnes alat ganti kenderaan, jadi dia nak beli kereta skrap dari Singapura. Dia tidak pernah jumpa secara fizikal dengan suspek, mereka berhubung secara dalam talian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, mangsa melakukan beberapa transaksi memindahkan wang RM1.3 juta tersebut ke akaun disyaki milik suspek bermula 1 hingga 19 Ogos lalu.

Mangsa katanya, mula menyedari tertipu setelah suspek gagal dihubungi sebelum dia tampil membuat laporan polis pada 20 Ogos lalu.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang mekanik kerugian kira-kira RM240,000 setelah terpedaya sindiket tiket loteri yang menjanjikan pulangan hadiah setengah juta ringgit.

Mangsa berusia 55 tahun ujar beliau, didatangi seorang lelaki pada bulan Mei lalu menawarkan tiket loteri toto yang sudah menang hadiah RM500,000.

“Bagi mendapatkan hadiah tersebut, suspek memaklumkan mangsa perlu membayar duit pendahuluan. Mangsa melakukan beberapa transaksi menerusi akaun bank melibatkan wang RM240,000,” katanya.

Katanya, mangsa menyedari tertipu selepas suspek menyekat talian telefon bimbit dan gagal dihubungi sebelum mangsa membuat laporan polis pada 23 Ogos lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *