JURI persekutuan Amerika Syarikat memerintahkan Los Angeles County membayar balu Kobe Bryant sebanyak AS$16 juta (RM71.61 juta) kerana mengambil gambar jasad bintang NBA itu yang maut dalam nahas helikopter pada Januari 2020.
Pada masa sama, juri turut mengarahkan Los Angeles County membayar pampasan sebanyak AS$15 juta (RM67.11 juta) kepada seorang lagi plaintif, Chris Chester yang isteri dan anak perempuannya juga antara sembilan orang yang terbunuh dalam nahas itu.
Sembilan juri sebulat suara bersetuju dengan Vanessa Bryant dan peguamnya bahawa timbalan dan anggota bomba mengambil dan berkongsi gambar mayat Kobe Bryant dan anak perempuannya, Gianna, 13, yang dianggap menceroboh privasi dan mengakibatkan tekanan emosi.
Vanessa Bryant dilihat sebak ketika memberi keterangan semasa perbicaraan 11 hari mengenai penyebaran gambar itu.
“Saya hidup dalam ketakutan setiap kali ia muncul di media sosial,” katanya memetik laporan AFP.
Peguam Vanessa, Luis Li menambah, gambar yang tersebar itu hanya bertujuan ingin berkongsi rasa ngeri, bukannya untuk penyiasatan.
Sementara itu, Peguam Daerah, J Mira Hashmall, berkata gambar itu adalah alat yang diperlukan untuk menilai keadaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa ia tidak sepatutnya dikongsi, tetapi menekankan bahawa gambar itu tidak pernah dipaparkan secara terbuka, malah tidak pernah dilihat oleh plaintif.
Kobe Bryant, bekas bintang Lakers dan juara NBA lima kalisedang dalam perjalanan bersama Gianna dan tujuh yang lain ke permainan bola keranjang remaja apabila helikopter yang mereka naiki terhempas di Calabasas barat Los Angeles pada 26 Januari 2020.
Pegawai keselamatan persekutuan menyalahkan kesilapan juruterbang atas nahas itu.
Leave a Reply