DR.Puad Zarkashi berkata parti itu tidak lagi memerlukan “poster boy” untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi itu berkata ia kerana “poster boy” tidak relevan lagi dan menegaskan, “Ia boleh jadi bola tanggung, ‘punching bag’ atau senjata makan tuan.
“Walaupun sudah ada keputusan, tetapi kalau sudah jadi liabiliti, elok batalkan sahaja ‘poster boy’. Manusia bernyawa mudah difitnah jika jadi ‘poster boy’,” katanya di Facebook beliau.
Pada Perhimpunan Agung UMNO Khas Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden parti itu dipilih sebulat suara oleh perwakilan sebagai “poster boy” atau calon Perdana Menteri, jika UMNO dan Barisan Nasional menang PRU15 nanti.
Dalam pada itu, Puad mencadangkan lebih baik logo BN dijadikan “poster boy” kerana ia tidak bernyawa dan sukar difitnah.
“Lagi pun logo BN telah sebati dengan rakyat. ‘Poster boy’ tidak boleh mereka yang ‘over’ perasan dan lembik. Harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya.
Jika cadangan beliau ini diterima oleh kepemimpinan tertinggi UMNO, ia bermakna Ismail Sabri tidak akan lagi menjadi ‘poster boy’ BN dalam PRU-15.
Selain itu, sudah ada desas desus, Ismail Sabri kini berhadapan dengan situasi sukar apabila didesak oleh pemimpin UMNO untuk mengadakan PRU-15 secepat mungkin.
Bagaimanapun setakat ini, Ismail Sabri masih mempertahankan pendirian beliau bahawa PRU-15 tidak akan diadakan secara tergesa-gesa.
Malah dalam kenyataan terbaru beliau, Ismail Sabri yang genap setahun menjadi Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu menegaskan, tindakan mengadakan PRU secara tergesa-gesa tanpa mengkaji sama ada BN boleh menang atau tidak, boleh dianggap ‘tindakan bunuh diri’.
Leave a Reply