DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Datuk Seri Najib Razak berhadapan situasi amat sukar untuk mencabar sabitan dan hukuman, mengambil kira pengalaman beliau terdahulu yang pernah disabit bersalah berkait kesalahan rasuah dan liwat.
Bagaimanapun kata Ketua Pembangkang itu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri , boleh memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Dalam wawancara bersama CNBC, Anwar berkata memandangkan impak kewangan berhubung skandal 1MDB, Najib akan berdepan kesukaran.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman kes SRC International, dengan Najib dihantar ke Penjara Kajang, susulan keputusan mahkamah tertinggi itu.
Keputusan itu menjadikan Najib sebagai bekas Perdana Menteri pertama dalam sejarah negara ini dipenjara.
Anwar yang merupakan Presiden PKR dan Ketua Pembangkang percaya Najib akan ditempatkan dalam penjara lebih baik daripadanya pada awal 2000, selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu dinafikan mendapatkan buku dan lawatan keluarga ketika menjalani hukuman.
“Dari apa yang saya faham daripada ‘rakan’ lama (yang juga) pegawai penjara, beliau akan diberikan layanan lebih baik, beliau akan diberi beberapa kemudahan. Namun, penjara bukan tempat yang selesa. Ia sukar, terutama nak dibandingkan gaya hidup (Najib) seperti hotel tujuh bintang. Beliau akan berdepan pengalaman sukar,” katanya.
Awal hari ini, Jabatan Penjara menyangkal khabar angin bahawa Najib akan menerima layanan istimewa di Penjara Kajang, seperti ditularkan di media sosial.
Pada April 1999, Anwar dihukum penjara enam tahun atas tuduhan rasuah, manakala pada Ogos 2000, beliau dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun kerana meliwat.
Pada 2004, beliau dibebaskan selepas sabitannya digugurkan. Bagaimanapun, beliau sekali lagi dipenjara pada 2014 kerana meliwat sebelum menerima pengampunan diraja. Beliau dibebaskan, pada 2018.
Leave a Reply