17 individu termasuk 8 wanita leka berjudi belangkas ditahan

SERAMAI 17 individu termasuk lapan wanita yang sedang leka bermain judi belangkas ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis di Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang kelmarin.

Dalam serbuan menerusi Op Dadu kira-kira pukul 5.30 petang itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM30,316 dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk bermain judi jenis belangkas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santung berkata, kesemua suspek yang ditahan termasuk seorang individu yabg dipercayai penganjur perjudian itu berusia antara 34 hingga 77 tahun.

“Suspek itu dipercayai baru sahaja menjadikan premis tersebut sebagai tempat berjudi.

“Kesemua suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 6 ( 1 ) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan juga mendapati seorang wanita warga asing yang turut ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan dia turut disiasat menurut Seksyen 6 ( 3 ) Akta Imigresen 1959/63.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *