“Saya tidak tergesa-gesa” dalam soal cuti hujung minggu” – Sultan Ibrahim

Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tentang cadangan kerajaan negeri untuk menukar semula cuti hari minggu negeri itu kepada Sabtu dan Ahad.

“Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan. Cadangan kerajaan itu akan saya teliti setiap sudut baik buruknya, dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi. Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan.

“Buat masa ini saya mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negeri Johor serta kepentingan rakyat.

“Kerajaan Negeri boleh berikan apa jua cadangan kepada saya, dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan apa-apa keputusan,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Justeru, Sultan Ibrahim bertitah agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau membuat gesaan supaya satu keputusan diumumkan secepat mungkin.

“Saya akan buat pengumuman apabila saya berpuas hati dan cukup yakin keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik untuk negeri Johor,” titah baginda.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama Negeri Johor.

Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan dalam negeri Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Negeri Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *