Lelaki warga asing mabuk, cederakan diri sendiri ditahan polis

SEORANG lelaki warga asing yang dipercayai dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan diri sendiri ditahan polis di sebuah rumah di Desa Indah, Persiaran Paya Terubong 2, Taman Sri Relau, Pulau Pinang Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santung, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita pukul 1.57 petang pada hari kejadian yang memaklumkan terdapat pergaduhan di kawasan perumahan itu.

Bertindak atas maklumat tersebut katanya, anggota ronda Balai Polis Sungai Nibong bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki warga asing dalam keadaan berikat dan berlumuran darah.

Jelas beliau, hasil temubual awal anggota polis terhadap rakan serumah lelaki berkenaan memaklumkan rakan mereka itu berada dalam keadaan mabuk teruk dan hilang kawalan.

Ujarnya, lelaki itu juga mencederakan diri sendiri dengan menghantuk kepala ke dinding sehingga mengalami kecederaan.

“Bagi mengelakkan lelaki ini terus bertindak agresif, rakan serumahnya telah mengikat lelaki ini dengan menggunakan tali.”

”Pihak polis telah cuba untuk menenangkannya serta menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan dan rawatan perubatan, dan dia telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Soffian, hasil pemeriksaan doktor mendapati lelaki itu mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan tiada kecederaan lain.

Dalam pada tambah beliau, polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta mensensasikan insiden tersebut.

”Pihak polis masih menyiasat kes ini dan meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, video berkenaan kejadian itu yang memaparkan seorang individu dipercayai dalam keadaan mabuk dan mencederakan diri sendiri dan sedang diberkas polis di sebuah rumah tular di dalam media sosial.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *