Kapal tangki Panama, bot tunda Singapura ditahan maritim

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEBUAH kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada kedudukan 16.6 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Menurut Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam, pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada pihak berkuasa Malaysia.

“Kapal tangki ini berdaftar dari Panama yang dikendalikan 26 kru lelaki termasuk nakhoda warga Ukraine dan Georgia.

“Mereka berusia 21 hingga 67 tahun dan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kapal ronda maritim menahan sebuah bot tunda pada kedudukan 17.7 batu nautika timur laut tanjung itu, pukul 2 petang.

Maritim menahan sebuah bot tunda dari Singapura pada kedudukan 17.7 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi, semalam atas kesalahan membawa kru yang tidak cukup

Katanya, bot tunda yang berdaftar dari Singapura itu dikendalikan enam lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 29 hingga 51 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Mohd Najib berkata, mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen72(1) OPS 1952 kerana bilangan kru kapal tidak mencukupi seperti ditetapkan dalam Safe Manning Certificate dan Seksyen 477(2) OPS 1952 kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan.

Jika sabit sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952.

Bagi Seksyen 72(1) OPS 1952, beliau memberitahu, boleh didenda sehingga RM100,000 manakala Seksyen 477(2) OPS 1952 boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak lebih 10 hari atau kedua-duanya sekali.

“Maritim ingin menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal atau bot supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dengan mana-mana pihak,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *