Johor catat peningkatan kes HFMD, ILI dan URTI pula menurun

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) merekodkan peningkatan manakala kes jangkitan saluran pernafasan, iaitu Influenza-like-illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI) mencatatkan penurunan di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, terdapat peningkatan kes HFMD sebanyak 1.5 kali ganda pada minggu epid 33 berbanding dengan minggu epid sebelumnya.

Beliau memberitahu, secara keseluruhan, kumulatif kes HFMD di Johor menunjukkan daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 3,075 kes, Kluang (1,139), Batu Pahat (905) dan Tangkak (902).

“Ini diikuti Segamat (797), Kota Tinggi (717), Pontian (591), Muar (334), Kulai (279), dan Mersing (133),

“Tiada wabak aktif HFMD dilaporkan. Penularan wabak HFMD berlaku melibatkan taska (46 wabak) diikuti oleh rumah persendirian (22), tabika (14), tadika (9), prasekolah (9), sekolah rendah (3), pusat jagaan harian (3) dan lain-lain (2),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara bagi wabak jangkitan saluran pernafasan, iaitu Influenza-like-illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI), sebanyak 5,689 kes dilaporkan pada minggu epid 33.

Angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 7.9 peratus peratus berbanding 6,177 kes pada minggu sebelumnya.

“Kebanyakan kluster yang dilaporkan melibatkan institusi pendidikan sebanyak 77.8 peratus. Namun tiada kluster baharu yang dilaporkan sepanjang pada minggu epid 33.

“Secara amnya, kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa yang berlaku tanpa musim di negara ini sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri,” katanya.

Situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan, katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *