BEKAS menteri hal ehwal agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bimbang terhadap sumpah yang dilafazkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang sedang menghadapi kes di mahkamah.
Memetik laporan Malaysiakini, Dr Mujahid berkata, tindakan Najib membuat sumpah laknat di Masjid Kampung Baru semalam amat dikesali.
“Ia adalah usaha untuk mempermainkan sentimen agama di kalangan penyokongnya sahaja ketika Mahkamah Persekutuan sedang bersidang bagi membicarakan beliau.
“Tindakan ini dibuat selepas pelbagai usaha untuk menangguhkan perbicaraan beliau ditangguhkan, namun gagal.
“Lebih dikesali lagi apabila beliau mengumpulkan penyokong beliau bersama untuk menyaksi kan sumpah beliau itu termasuk seorang penceramah agama,” kata naib presiden Amanah itu hari ini.
Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar berkata sumpah Najib itu dilakukannya ketika Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas perdana menteri itu.
“Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman beliau bersalah dan kini lima hakim Mahkamah Persekutuan pula bersidang untuk menentukan nasib beliau,” jelasnya.
“Saya bimbang dengan pendekatan yang diambil oleh Datuk Seri Najib dan penyokongnya.
“Apakah ini wajah Melayu yang kita inginkan atau Melayu yang lebih bermaruah dan memegang nilai-nilai agama dengan sebaik-baiknya bukan Melayu yang boleh dimainkan emosinya dengan sentimen perkauman dan agama yang sempit.
“Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada semua rakyat negara ini, buat masa sekarang berilah kepercayaan kepada Mahkamah Persekutuan pimpinan Ketua Hakim Negara (Tengku Maimun Tuan Mat) untuk membuat keputusan dengan adil dan berdasarkan bukti dan saksi dalam perbicaraan,” kata Mujahid.
Najib malam tadi sekali lagi melafazkan sumpah mubahalah (saling laknat melaknati) bagi menafikan pembabitannya dalam penyelewengan dana SRC International.
Perkembangan itu hadir menjelang prosiding rayuan akhir kes bekas perdana menteri itu di Mahkamah Rayuan pada Selasa ini.
Najib berkata, lafaz sumpah kali ini bertujuan untuk membersihkan nama keluarganya dan kedua ibu bapanya.
“Aku tidak pernah pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta datangnya dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung.
“…Aku tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan pun,” kata Najib.
Bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan itu juga mendakwa dia tidak terlibat dalam mesyuarat kabinet bagi meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) sebanyak RM4 billion kepada syarikat SRC untuk tujuan mendapatkan habuan haram.
“Sekiranya aku berdusta di atas sumpah ku ini, ya Allah…Maka ya Allah halallah laknat ke atas diriku,” kata Najib dalam sumpahnya itu.
Untuk rekod, pada 2019, Najib pernah melafazkan sumpah bagi menafikan dakwaan pembabitannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Pada 28 Julai 2020 pula, Najib melafazkan sumpah serupa berhubung kes SRC bagi menyatakan bahawa dia tidak tahu mengenai RM42 juta yang disalurkan ke akaunnya.
Dia kemudiannya sekali lagi melafazkan sumpah laknat pada 8 Dis 2021 secara dalam talian bagi menyatakan tidak bersalah di atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International.
Leave a Reply