SPRM perlu teruskan siasatan, pendakwaan Panglima TLDM bukan penyelesaian isu LCS

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPRM) perlu meneruskan siasatan dan pendakwaan terhadap individu yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek kapal tempur (LCS).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan tersebut tidak perlu berhenti setakat itu sahaja sebaliknya semua yang terlibat dalam Kementerian Pertahanan (Mindef) perlu disiasat secara menyeluruh.

“Semua menteri yang pernah menjadi Menteri Pertahanan Malaysia tidak boleh lepas diri. Mereka perlu bertanggungjawab.

“Bangkai rasuah yang busuk di Mindef tidak boleh ditutup dengan kertas plastik. Rakyat mahu tahu apa sebenarnya yang telah berlaku.

“Pertuduhan di mahkamah ke atas bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak boleh menutup selesai dan membungkus isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah berhubung skandal LCS itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 16 Ogos lalu, bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Noor, 78, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah projek LCS membabitkan dana syarikat bernilai lebih RM21 juta.

Beliau yang juga bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM21 juta.

BNS ditugaskan untuk membina enam kapal tentera laut dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion yang bermasalah.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, isu Isu rasuah di sebalik LCS akan menjadi liabiliti kepada Barisan Nasional (BN), kelebihan dan aura kemenangan politik gabungan itu selepas menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor kini sudah terhakis.

Katanya, imej BN kembali ke zaman skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Isu rasuah akan kembali menjadi isu sentral dalam PRU. Jika dalam PRU14 isu skandal 1MDB jadi isu utama sehingga kerajaan BN tumbang buat kali pertama dalam sejarah, kini dalam PRU15 isu LCS akan berlabuh mengambil tempat 1MDB.

“Pemimpin-pemimpin utama BN yang diwakili bekas Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri yang merupakan bekas Presiden UMNO dan Presiden UMNO sekarang yang bukan kebetulan sedang berhadapan dengan undang-undang di mahkamah, telah menghidupkan kembali imej mental di minda rakyat bahawa pemimpin-pemimpin UMNOBN adalah golongan pemimpin politik daripada golongan perasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah yang tidak boleh dipercayai rakyat.

“Ini adalah imej buruk yang sedang dihadapi UMNO dan BN sekarang. Sama ada PRU-15 diadakan sekarang atau tahun hadapan, imej di minda rakyat sudah terpahat bahawa pemimpin-pemimpin politik seperti dalam kluster mahkamah ini perlu ditolak dalam pilihanraya,” katanya.

Rakyat sebagai pengundi katanya, akan menjadi raja dan berkuasa untuk menghukum mereka serta UMNO atau BN menerusi peti undi seperti pernah mereka lakukan sebelum ini pada PRU-14 yang lalu.

Beliau berkata, pada ketika ini Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengharapkan laba politik datang bergolek ke kaki mereka.

“PH tidak boleh berpeluk tubuh melihat isu rasuah menghujani tubuh badan BN dengan PH tidak mengambil apa-apa inisiatif positif di sebalik apa yang sedang berlaku,” katanya.

Menurut Hassan, sekadar pemimpin-pemimpin utama PH menyeru diadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak mencukupi kerana rakyat menuntut lebih daripada itu terutama apakah agenda konkrit PH yang kemas dan padu untuk mengatasi isu rasuah di Malaysia.

PH katanya, perlu huraikan agendanya menentang rasuah dalam Manifesto PH untuk PRU15 dan bukan sekadar janji palsu atau retorik.

“Apa cadangan PH untuk tangani masalah rasuah yang kini sedang memusnahkan ekonomi, sosial dan politik Malaysia. Apakah PH boleh sambut cabaran ini? Jika PH mahu menang PRU15, maka matlamat menghapuskan rasuah perlu dijadikan isu utama dalam manifestonya di samping mengatasi masalah ekonomi dan masalah kos sara hidup rakyat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *