‘’Tak perlu lantik TPM, saya sudah ada empat menteri kanan’’

WALAUPUN Perikatan Nasional (PN) mendakwa ada perjanjian antara gabungan itu dan Perdana Menteri berhubung pelantikan bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri, namun Ismail Sabri menegaskan, beliau tidak ada keperluan berbuat demikian kerana sudah pun disokong oleh empat menteri kanan dalam Jemaah Menteri.

“Saya dah ada empat menteri kanan yang membantu saya. Maknanya, seolah-olah ada empat timbalan perdana menteri. Seolah-olah saja walaupun tidak. Benda (kemudahan) yang diperolehi hampir sama – ada ‘rider’ (pengiring berkenderaan), ada ‘bodyguard (pengawal peribadi), macam-macam lah. Lebih kurang TPM.

“Jadi setakat ini, tidak menyusahkan (atau) membebankan saya lah tanpa TPM sebab keempat-empat menteri kanan saya sudah pun mewakili parti yang dah ada,” kata Ismail yang juga naib presiden UMNO, kepada FMT dan wakil beberapa media lain dalam temubual sempena setahun Keluarga Malaysia.

Empat menteri kanan dalam Jemaah Menteri Ismail Sabri adalah DatuK Sewri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Radzi Jidin dari Bersatu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (UMNO) dan Datuk Seri Fadilah Yusof (Gabungan Parti Sarawak).

Ismail Sabri menegaskan,  secara umum, komposisi Jemaah Menteri yang ada sekarang diterima baik “semua orang” dan tidak mahu perkara itu dijadikan “isu besar yang boleh merosakkan hubungan antara kita.”

“Yang cakap banyak tu orang di luar. Yang dalam Jemaah Menteri tak pernah timbul isu pun,” kata Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera.

Kalangan pemimpin Bersatu sebelum ini menyelar Ismail Sabri kerana dikatakan tidak mematuhi perjanjian yang diikat dengan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perlantikan TPM dan beberapa perkara lain.

Perjanjian itu dikatakan dimeterai sebelum Ismail dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.

Khamis lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau telah menulis surat memohon tarikh baharu untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Ismail.

Hamzah turut mengesahkan pertemuan beberapa pemimpin PN dengan Ismail sebelum ini secara tidak rasmi dan lebih kepada sembang santai.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *