DATUK Seri Najib Razak malam ini melakukan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru di depan jemaah masjid berkenaan menjelang prosiding rayuan akhir kes bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Persekutuan pada Selasa ini.
Najib membacakan teks sumpah berkenaan selepas selesai solat hajat dan doa munajat bersama jemaah masjid berkenaan.
Dalam sumpah itu, Najib antara lain mengulangi penafian beliau terbabit dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) atau ‘mengarahkan mana-mana anggota atau pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akuan bank aku untuk apa-apa tujuan pun’.
“Sejak aku diberikan amanah memimpin negara Malaysia sehingga kini aku tidak pernah, pertama, pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta itu datangnya dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung,” katanya dalam sumpah itu.
Beliau juga mendakwa tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkum apa-apa dana bagi tujuan peribadi atau keluarga.
Sejurus solat Isyak, Najib dan jemaah melaksanakan solat hajat dan bacaan doa munajat dan melafazkan sumpah itu.
Ketika ucapan, Najib berkata beliau berharap mendapat keadilan dan kebenaran akan muncul.
“Semoga Allah SWT memudahkan dan mengampunkan segala dosa kita, saya berdiri di sini atas tujuan pertama sebagai hamba Allah saya ingin membersihkan nama saya dan memohon pertolongan pada Allah SWT,” katanya.
Pada 19 Ogos lalu, Pihak pendakwaan dalam rayuan rasuah Najib memberitahu Mahkamah Persekutuan, bekas Perdana Menteri itu telah mengesahkan afidavit dalam satu tuntutan sivil, mengakui beliau tahu dana RM42 juta yang masuk ke akaun bank peribadinya datang dari SRC International.
Pendakwa ad hoc V Sithambaram berkata, afidavit itu difailkan pada 23 Februari 2016 dalam saman Najib terhadap bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.
Liong Sik yang merupakan bekas Menteri Pengangkutan, dilaporkan berkata pada majlis yang diadakan di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman pada 3 Okt 2015 bahawa Najib “mengambil wang rakyat dan memasukkannya ke dalam akaunnya”.
Najib memulakan tindakan undang-undang terhadap Ling pada tahun yang sama tetapi menarik balik saman itu pada 22 Mei 2018, sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tersingkir dari Putrajaya.
Sithambaram memberitahu panel lima hakim mahkamah tertinggi itu bahawa pembelaan Najib dalam kes sebelum ini adalah beliau tidak tahu sumber dana tersebut.
“Ini adalah pembohongan yang sengaja kerana beliau, dalam afidavitnya, mengesahkan pengetahuannya bahawa RM42 juta itu datang dari SRC International dan memasuki akaun banknya.
“Di sisi undang-undang, ini dikira pengakuan bertulis yang mencabar kepentingannya (sendiri),” katanya.
Dalam keterangannya semasa perbicaraan SRC International, peguam Ranjit Singh, yang bertindak untuk Ling dalam saman sivil tersebut, mengesahkan bahawa pasukan guaman Ling telah menerima afidavit Najib.
Najib mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah pada 28 Julai 2020.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke atasnya.
Leave a Reply