Oleh BADLISHAH MAT
LAPORAN berkaitan kapal tempur pesisir (LCS) yang tidak lagi diklasifikasikan sebagai rahsia perlu didedahkan secara terbuka agar tidak dimanipulasi menjadi bahan politik pada pilihan raya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rakyat perlu tahu kejadian sebenar mengenai LCS agar perkara itu tidak terjadi seperti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Sebab itu Perdana Menteri ada sebut bahawa ada keterbukaan dalam siri laporan yang nak dilaporkan, jadi mana (perkara) yang boleh diklasifikasi sebagai bukan lagi rahsia bagilah rakyat tahu apa-apa yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pusat Daya Maju Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pejabat Kemas Padang Terap di Kuala Nerang hari ini.
Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu LCS jika tidak dikendalikan dengan betul akan mirip isu 1MDB yang digunakan pembangkang sehingga menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah.
Sementara itu, UMNO percaya BN Kedah mempunyai keyakinan tinggi untuk menang dan merampas semula negeri Kedah dalam PRU15.
Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap menjelaskan, hasrat itu boleh dicapai berdasarkan laporan yang diterima membabitkan sokongan rakyat kepada UMNO dan BN ketika ini.
Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) di negeri itu.
“Kita mempunyai keyakinan yang tinggi bila berada dalam pilihan raya, jadi saya fikir bahawa laporan, aktiviti dan juga melihat pada suasana saya yakin bahawa kita boleh dapat yang kita cita-citakan.
“Tak payah komen kot (berhubung kerjasama dengan Pas di Kedah,” katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir menegaskan urusan berkaitan pembubaran Parlimen dan penetapan tarikh PRU-15 adalah kuasa dan hak prerogatif Perdana Menteri.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini menyatakan keyakinan Pas boleh menang di sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dalam PRU-15.
Menurutnya, keyakinan itu dizahirkan berdasarkan asas bahawa Pas mendapat sokongan padu daripada rakyat negeri Kedah dan berada pada keadaan yang kuat ketika ini.
Leave a Reply