LCS: Ini bukan kerja ‘bilis” tapi jerung – Rafizi

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) sebagai penyelewengan yang sudah dirancang sedari awal.

Memetik laporan Astro Awani, Rafizi berkata, ini terbukti dengan penglibatan syarikat-syarikat palsu dan lapisan subkontraktor yang dilantik dalam projek berkenaan.

“Saya baca semua, kalau nak Najib (Datuk Seri Najib Razak), Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) atau Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) cakap dia tak tahu apa-apa, ‘lempanglah’ mereka.

“Perkara ini tak boleh berlaku tanpa perancangan, ini bukan curi ayam. Kalau curi ayam boleh percayalah, mungkin dah lama tak makan ayam, nampak ayam dia pergi curi.

“Kita tahu ia dirancang bila kita tengok lapis demi lapis demi lapis syarikat subkontraktor, syarikat-syarikat palsu yang secara tersusun cuba meniru nama syarikat yang betul-betul wujud.

“Dia tengok ada syarikat di Perancis yang wujud dan terlibat dalam pertahanan dan kontraktor, jadi dia pun buat satu syarikat tapi dia buat di Malta atau Bahamas.

“Ia supaya apabila dia palsukan dokumen yang kononnya kontrak itu, alat-alat itu dibeli daripada syarikat yang betul-betul wujud, tetapi sebenarnya barang itu dia ambil daripada entah dari mana.

“Kemudian invois pun entah ke mana,” katanya pada majlis Pelancaran Trak Ayuh Malaysia di ibu negara, pada Sabtu.

Jelasnya lagi, pembabitan akaun offshore (luar pesisir pantai) menguatkan lagi keraguan bahawa projek penyelewengan itu tidak didalangi ‘ikan bilis’.

“Sebagai akauntan bertauliah dan biasa menguruskan portfolio pelaburan antarabangsa, kalau ada pihak yang bersusah payah dari awal mewujudkan syarikat offshore, maknanya ia bukan kerja ‘bilis-bilis’ tetapi ‘jerung’.

“Hanya ‘jerung’ boleh tetapkan awal-awal berapa atau kontrak apa nak buat, ini spesifikasi dan kontraktornya, tak buat kerja tapi boleh bayar dulu, pastikan wang keluar, dialihkan dan sampai ke akaun yang kita tak tahu siapa pemiliknya sebab kita tak tahu siapa yang ada sijil pemilikan fizikal,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *