AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyanggah kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran yang melabelkan beliau sebagai ‘pelacur politik’.
Mohamed Nazri menegaskan, dalam politik, mereka yang tewas beberapa kali di satu-satu kawasan dan berusaha untuk bertanding di kawasan baharu yang lebih selamat itu sebenarnya ‘pelacur politik’.
Katanya, beliau telah enam penggal menang di Padang Rengas dan tidak pernah cuba untuk mencari tempat baharu yang lebih selesa dan selamat.
“Saya ada dengar orang yang sudah kerap kali kalah di Kota Raja sekarang sedang berusaha mahu bertanding di Sungai Siput (Perak). Orang macam inilah sebenarnya ‘pelacur politik’, sudah ditolak pengundi tetapi masih tidak sedar diri.
“Jenis yang kalah beberapa kali di satu-satu tempat dan mengintai peluang tempat lain bukan setakat ‘pelacur’ tetapi juga pengecut kerana lari dari kawasan. Pada saya, kenyataan yang dibuat oleh Vigneswaran itu bukan lagi menampakkan MIC seperti pengemis tetapi menunjukkan dia seorang Presiden yang tidak ada otak.
“Lebih baik hanya jadi Ketua Bahagian di Padang Rengas dan menang enam penggal Pilihan Raya Umum (PRU) berbanding jadi Presiden sebuah parti tetapi kalah dua tiga kali dan sedang ‘melacur’ untuk dapatkan tempat lain,” katanya kepada Astro AWANI.
Mohamed Nazri mengakui bahawa beliau sebelum ini melawan keputusan parti tetapi menegaskan tindakannya itu telah terbukti menguntungkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Tegas beliau, dengan tindakannya melawan keputusan parti itu, Perdana Menteri yang ada hari ini datangnya dari UMNO dan BN, bukan parti lain.
“Dengan tindakan saya itu juga, Setiausaha Agung UMNO yang memberikan surat tunjuk sebab kepada saya, sekarang ini beliau dan presidennya turut menyokong Perdana Menteri sedia ada.
“Ini buktinya apa yang saya lakukan menguntungkan parti bukan merugikan dan melemahkan parti menjadi seperti pengemis. Presiden MIC itu perlu sedar bahawa 16 orang Ahli Parlimen yang ingkar arahan parti itu termasuk Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini merupakan Perdana Menteri.
Nazri turut menyoal sama ada Vigneswaran turut menyifatkan Perdana Menteri sama seperti apa yang dilabel kepada dirinya.
Dalam pada itu, kata Mohamed Nazri berkata Presiden MIC itu sepatutnya memberi penjelasan kepada masyarakat India tentang Mitra yang hingga kini masih tidak ada jawapan jelas.
Katanya, jika Presiden MIC gagal memberi penjelasan tentang Mitra, masyarakat India tidak akan memberi sokongan kepada MIC dan BN.
“Mitra adalah usaha kerajaan untuk membantu masyatakat India tetapi hingga hari ini isu tersebut tidak dapat dijawab oleh MIC. Isu ini yang menyebabkan masyarakat India hilang keyakinan terhadap MIC dan BN hingga sanggup menyokong parti lain seperti Pakatan Harapan,” ujar beliau.
Selain itu, Mohamed Nazri turut mengingatkan peruntukan kerajaan yang diberikan kepada MIC untuk menyediakan kursus kepada masyarakat India selepas penularan pandemik COVID-19.
“Isu ini juga sedang diperkatakan oleh masyarakat India dan khabarnya sudah dalam siasatan kerana duit sudah habis tetapi satu apa kursus pun tidak dijalankan. Sudahlah isu Mitra sampai sekarang tidak boleh nak beri penjelasan, isu ini pula yang perlu dijawab,” katanya.
Menyanggah hujah Vigneswaran tentang kemenangan MIC dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, Mohamed Nazri menyifatkan presiden MIC itu berada dalam dunia khayalan.
Jelas beliau kemenangan yang diperolehi itu kerana sokongan orang Melayu terhadap UMNO bukan disebabkan kehebatan MIC.
“Mereka menang di kerusi yang majoriti pengundinya orang Melayu jadi menang lah sebeb orang Melayu kembali menyokong UMNO. Bila parti komponen BN bertanding, orang Melayu beri undi sebab anggap ini kawan UMNO. Kalau hebat sangat sepatutnya MIC minta kerusi-kerusi yang majoritinya pengundi India, kalau menang baru boleh kata masyarakat India sudah kembali menyokong MIC,” katanya.
Pada Sabtu, Vigneswaran berkata partinya tidak risau dengan kenyataan Mohamed Nazri yang menyifatkan MIC sebagai pengemis yang menang dalam pilihan raya atas ihsan UMNO.
Leave a Reply