Zahid mahu segera, Ismail Sabri kata bubar Parlimen tergesa-gesa ibarat bunuh diri

BEBERAPA Jam selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera bagi menggelakkan Barisan Nasional (BN) tewas, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menegaskan, pembubaran Parlimen tergesa-gesa ibarat ‘perbuatan bunuh diri’.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk persediaan rapi dan dapatan kajian sama ada BN boleh menang atau kalah dalam pilihan raya berkenaan.

Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, tiada guna beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sedangkan BN belum tentu boleh menang.

Beliau menegaskan, pembubaran Parlimen akan dibuat jika terdapat bukti kukuh BN boleh menang dan kekal berkuasa selepas PRU15 nanti.

“Tarikh PRU15 bukan boleh diumumkan begitu sahaja, banyak perkara perlu diambil kira termasuk, pertama hasil kajian sikap dilakukan oleh Wanita UMNO.

“Jika kita adakan PRU15 tanpa mengambil kira sama ada BN boleh menang tiada gunanya. Bagi saya jika nak adakan PRU15 kita wajib menang jangan jadi macam PRU14 kita kata menang tapi akhirnya kalah teruk. Kalau nak sedap kita kena jadi Perdana Menteri, kalau saya jadi Ketua Pembangkang semula tidak sedap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap  pada perasmian berkelompok Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Bahagian Bera 2022, di Bera, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera turut menegaskan, PRU15 bukan boleh diadakan begitu sahaja kerana tanpa persiapan rapi, BN akan kalah teruk dan menjadi pembangkang semula.

“Kalau kita silap masuk dan tiada bukti boleh menang PRU15 dan akhirnya kita menjadi pembangkang adalah satu kerugian kepada BN. Sebab itulah saya katakan saya hanya akan bubarkan Parlimen jika ada bukti kukuh BN boleh menang PRU15.

“Saya pernah cakap semasa Konvensyen BN baru-baru ini bahawa saya sedia membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 jika kajian sikap dilakukan Wanita UMNO, MIC dan MCA menunjukkan kita akan menang PRU15 nanti. Tiada guna kita masuk PRU15 jika kita tidak boleh menang,” ujarnya.

Ismail Sabri berkata, BN juga perlu mengambil kira impak pelbagai isu yang timbul ketika ini termasuk soal kelewatan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang hangat diperkatakan.

“Adakah isu ini boleh menyebabkan kemerosotan undi dan BN kalah dalam PRU15 ini? Jadi kita kena tengok kajian sikap adakah orang kampung peduli atau tidak kapal LCS berkenaan belum siap.

“Kalau kajian menunjukkan kesan isu kelewatan pembinaan kapal LCS adalah sama seperti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dulu, maka kemungkinan kita terpaksa tangguh niat nak adakah PRU15 dalam masa terdekat,” katanya.

Susulan itu, Ismail Sabri mengarahkan UMNO Bahagian Bera supaya mula membuka bilik gerakan pilihan raya mulai 1 September ini.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *