Tiga ditemukan rentung dalam tragedi kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Rajawali, Lorong 11, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, ketiga-tiga mangsa ditemukan di tingkat bawah, dipercayai gagal keluar selepas rumah mereka terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 malam.
“Katanya, seramai 18 anggota dan pegawai bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.
“Pasukan bomba mendapati sebuah rumah dua tingkat jenis kekal telah terbakar dan operasi memadam segera dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, lapor UtusanBorneo.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan tiga pancutan dari sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.
“Sebaik pemeriksaan dilakukan, pasukan bomba menemukan tiga mangsa, seorang lelaki dan dua wanita rentung di bahagian tingkat bawah rumah tersebut.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis, sebelum dibawa ke Hospital untuk proses bedah siasat,” katanya.
Jimmy berkata, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kejadian selamat sebelum menamatkan operasi pada jam 1.21 pagi.
“Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.
Leave a Reply