TINDAKAN berani seorang remaja berusia 17 tahun menunggang motosikal curi dari Batu Gajah, Perak pulang ke rumahnya di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam memakan diri selepas dia ditahan polis semalam.
Malah, ketika ditahan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, remaja berkenaan yang tidak mempunyai lesen turut membonceng seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun manakala seorang lagi rakan mereka berusia 16 tahun menunggang sebuah motosikal lain.
Kedua-dua buah motosikal itu ditahan polis selepas ditunggang dalam keadaan mencurigakan selain tidak mengikut lorong motosikal di jambatan kedua Pulau Pinang terbabit.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, siasatan lanjut mendapati motosikal yang ditunggang remaja berusia 17 tahun itu merupakan motosikal curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Teluk Kumbar bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya hari ini.
Menurut Fisol, dua remaja iaitu berusia 13 dan 17 tahun didapati masih bersekolah manakala remaja berusia 16 tahun tidak bersekolah.
Bagaimanapun tambahnya, remaja berusia 16 tahun memiliki lesen dan motosikal yang digunakan didaftarkan atas namanya sendiri.
“Polis mengeluarkan empat saman ke atas remaja terbabit tersebut kerana beberapa kesalahan termasuk mengubah suai motosikal yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan,” katanya.
Tambahnya, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dan polis turut menyita kedua-dua motosikal untuk siasatan lanjut.
Ujar beliau, remaja berusia 17 tahun ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan manakala dua lagi remaja dibebaskan dengan jaminan polis.
Leave a Reply