Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SATU sindiket penyeludupan rokok putih tumpas selepas polis menahan dua lelaki dan sebuah lori di Taman Fasa Indah, Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit, Kota Tinggi, pukul 3.20 pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebelum ditahan dua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 31 dan 47 tahun berada dalam keadaan mencurigakan.
“Seorang daripadanya cuba menghalang pihaknya semasa menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan dalam lori tersebut menemukan kotak-kotak berisi rokok seludup yang tidak dibayar cukai. Dalam serbuan itu pihak polis merampas lori berkenaan, 244 kotak mengandungi 12,200 karton rokok jenama Conept Blend.
“Jumlah keseluruhan rampasan dalam operasi tersebut berjumlah RM1,830,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah 135(1) (d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Polis Johor berharap agar masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Urusetia Task Force Kontinjen
Johor, Superitendan Nur Azlan M Kudus iaitu 019-2396318 atau mana-mana balai berdekatan.
Leave a Reply