PELUANG setiap calon daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk menang mana-mana kawasan Parlimen adalah sama berdasarkan peratusan sokongan pengundi setempat dan bukannya peratusan kaum.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, peratusan kaum tidak boleh dipakai lagi kerana terlalu banyak isu dalam fahaman politik sama ada Melayu, Cina atau India.

Beliau berkata bagaimanapun, sekiranya MIC diberi amanat untuk bertanding atau memenangi satu-satu kerusi Parlimen, parti itu akan melakukan yang terbaik demi kepentingan BN.

“Kita hanya akan bertanding di tempat yang boleh menang sahaja, sebagai contoh untuk kerusi Parlimen Segamat, penilaian akan dilaksanakan sebelum keputusan diberikan… MIC tidak mahu membazir masa, wang, dan tenaga yang akhirnya menyebabkan BN tidak mendapat apa-apa kelebihan,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen MIC Johor di Dewan Muafakat Simpang Renggam dekat Kluang.

Vigneswaran berkata, bukan cara MIC mahupun BN untuk meletakkan calon jika sudah tahu akan kalah dan itu bukan cara BN untuk menghadapi sesuatu pilihan raya sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

“Dalam BN, kita tidak menipu rakyat untuk mendapatkan undi dengan menjanjikan sesuatu yang tidak boleh dikotakan dan inilah perbezaan antara BN dengan parti-parti lain,” katanya.

Pada PRU14, MIC bertanding sembilan kerusi Parlimen dan 18 DUN. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here