Empat pendaki sesat ketika turun dari Gunung Pulai selamat

Oleh BADLISHAH MAT

EMPAT lelaki yang sesat ketika menuruni Gunung Pulai di Baling ditemukan dalam keadaan selamat setelah mereka menjalani aktiviti mendaki di situ pada sebelah pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Mohd. Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.19 petang mengenai kejadian itu.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada pukul 7 malam setelah menerima panggilan daripada salah seorang mangsa.

“Mereka mula mendaki pada pukul 8 pagi dan tersesat ketika menuruni gunung itu tanpa menggunakan khidmat Malim Gunung yang arif dengan selok-belok kawasan berkenaan.

“Pasukan penyelamat dibantu sukarelawan, penduduk dan malim gunung menemukan kesemua mereka kira-kira pukul 11.30 malam yang berada dalam keadaan letih akibat kehabisan bekalan makanan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohd. Jamil berkata, mangsa memaklumkan masih dapat melihat aliran sungai di situ selain mendengar laungan azan pada ketinggian yang dianggarkan kira-kira 500 meter.

“Usaha dijalankan untuk mencari jalan agak sukar kerana mangsa telah tersasar jauh dengan laluan turun ke bawah selain struktur muka bumi bercerun dan berbatu.

“Namun, keempat-empat pendaki berusia antara 22 hingga 26 tahun berjaya dibawa turun ke kaki Gunung Pulai dalam keadaan selamat dan stabil kira-kira pukul 2.30 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, laluan Gunung Pulai lebih sukar berbanding Gunung Baling kerana tahap kecerunan yang lebih tinggi dan berbatu selain hutan tebal.

“Apabila pendaki tidak arif dengan pendakian gunung itu, mereka berkemungkinan akan tersesat kerana tersasar daripada laluan ketika sedang menuruni gunung.

“Selepas kita terima aduan mengenai kejadian itu, SAR dilakukan segera apabila salah seorang mangsa telah menghubungi dan menyatakan mereka tersesat dalam perjalanan turun ke kaki gunung,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *