POLIS menahan seorang lelaki yang mengugut mahu membunuh dan menjadikan isterinya cacat seumur hidup dalam satu serbuan, semalam.
Suspek berusia 35 tahun itu ditahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas Ampang pada pukul 9 malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, lelaki yang mempunyai satu rekod lampau dadah itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada wanita terbabit.
Katanya, sebelum itu, suspek menghubungi mangsa menyatakan ketidakpuashatiannya dengan tindakan wanita tersebut memfailkan cerai.
“Lelaki itu mengugut mahu membunuh dan menjadikan isterinya cacat seumur hidup. Mangsa yang ketakutan kemudiannya membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Farouk berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Leave a Reply