KPN arah siasat ancaman terhadap Ketua Hakim Negara

KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam tadi.

Acryl Sani berkata, perkara itu adalah satu isu yang serius dan siasatan terhadap kes ancaman berkenaan sedang dilaksanakan walaupun tiada sebarang laporan polis dibuat.

“Saya sudah mengarahkan JSJ Bukit Aman memulakan siasatan dengan meneliti segala ancaman serta ugutan terhadap Ketua Hakim Negara dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah semestinya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perkara membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman awam yang boleh mengganggu-gugat keamanan,” katanya kepada Berita Harian.

SEMENTARA itu, Pengerusi Biro Media Sosial DAP Syahredzan Johan menempelak kempen Internet yang menyerang Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Lihatlah betapa terdesaknya mereka?  Serang keluarga ketua hakim dan buat ancaman jelas tentang pertumpahan darah,” tulisnya di Facebook sebentar tadi.

Syahredzan turut berkongsi tulisan pengguna maya berkaitan ancaman itu serta yang mengaitkan keputusannya dengan suaminya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *