JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan empat buah kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup masuk ke negeri itu melalui di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Sabah Cheong Yu Min, semua rampasan dianggarkan bernilai RM1,136,413 itu melibatkan tiga kes tahanan minuman keras sejak 11 Ogos lalu.
Rampasan pertama katanya, dilakukan pada 11 Ogos 2022, kira-kira 9.45 pagi selepas bertindak berdasarkan penemuan imej imbasan mesin pengimbas yang meragukan dan penahanan terhadap sebuah kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kontena yang ditahan tersebut mendapati sejumlah lebih kurang 18,236 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam dengan anggaran nilai harga sebanyak RM69,458.88, manakala anggaran duti dan cukai sebanyak RM284,139.95.
“Rampasan kedua pada 16 Ogos 2022, lebih kurang 9.05 pagi, mendapati kedua-dua buah kontena tersebut mengandungi minuman keras pelbagai jenama dengan nilai RM594,410.86.
“Sementara rampasan ketiga pada 17 Ogos lalu kira-kira 11.10 pagi selepas pihaknya menahan sebuah kontena disyaki digunakan untuk menyeludup masuk minuman keras dengan penemuan 16,632 liter berjumlah RM267,882.63,” katanya dalam sidang media JKDM Zon Sabah, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi bagi ketiga-tiga kes berkenaan adalah mengikrar dagangan import dengan barang lain untuk tujuan menyeludup bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (a) Akta Kastam 1967,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Leave a Reply