Sindiket pelacuran wanita Afrika tumpas

SINDIKET pelacuran melibatkan wanita dari benua Afrika yang beroperasi di sebuah kondominium di Cyberjaya, ditumpaskan dalam serbuan pukul 4 petang semalam.

Serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya berjaya memberkas 10 wanita terdiri daripada tujuh wanita Tanzania dan tiga wanita Uganda.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya merampas sembilan pasport, 13 buah telefon bimbit, satu kad akses, satu kad pelajar, empat set kondom dan sembilan buah buku nota yang merekodkan bukti langganan seks.

“Siasatan awal mendapati sembilan wanita ini masuk ke Malaysia secara sah sebagai pelancong dan seorang lagi masuk sebagai pelajar antarabangsa di sebuah pusat bahasa di Kuala Lumpur.

“Daripada kesemua tangkapan ini, dua wanita Tanzania dan Uganda telah dikenal pasti merupakan ‘mummy’ iaitu orang tengah dalam aktiviti pelacuran ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sindiket ini menyasarkan pelanggan daripada kalangan pelajar antarabangsa dan lelaki benua Afrika terutamanya dari Nigeria dengan kadar bayaran RM200 hingga RM500.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang sebenar di sebalik kegiatan pelacuran serta rangkaian sindiket ini.

“Kesemua wanita berusia 23 hingga 37 tahun itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Tambahnya, orang ramai diminta untuk terus bekerjasama dan menyalurkan aduan berkaitan aktiviti warga asing yang tidak bermoral dan melanggar undang-undang supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *